“Tak nak! Nak mummy pakaikan baju!”
Anak anda berusia 3 tahun mengamuk-ngamuk mahukan mama memakaikan dia baju dan menolak anda membantunya.
“Mama kan pegi kerja. Papa kan ada! Papa pun boleh tolong Aidan.”
Cubaan untuk mendekati si anak menyebabkan dia terus menolak anda semahunya.
Sentap juga dibuatnya naluri hati seorang ayah. “Apa yang buat mama dia special sangat? Papa yang selalu uruskan dia ke rumah pengasuh sebab mama keluar kerja awal, tapi ini yang papa dapat?” papa hanya mampu berkata dalam hati.
Apa yang anda patut lakukan?
Ia bukanlah perkara luar biasa sebenarnya bila si anak lebih memilih sama ada mama sahaja untuk menguruskan dia atau sebaliknya. Ini antara sebabnya:
1. Kadangkala ia disebabkan oleh perubahan peranan dalam membesarkan mereka seperti menguruskan mereka tukar lampin, mandi, makan, tidur termasuk menghantar dan menjemput dari pengasuh.
2. Adakalanya orang yang lebih digemari itu dipilih bila anak mendapat adik baru. Kemungkinan papa dipilih kerana mama lebih memberi perhatian pada adik baru.
3. Kadangkala ia disebabkan bila mama mandikan ia lebih menyeronokkan atau bila papa yang membacakan buku cerita ia lebih menggembirakan.
Apa pun alasannya, hati rasa pedih bila kita ditolak oleh si kecil. Namun, jangan cepat beralah kerana ada cara yang boleh dilakukan bila melalui fasa sukar ini.
Tip untuk papa/mama Yang “Tak Digemari”
Uruskan perasaan anda sendiri
Walaupun anda rasa macam-macam perasaan bila ditolak oleh anak sendiri tetapi tak salah untuk memberitahu anak tentang perasaan anda (“Papa rasa sedih bila Aidan suruh papa pergi!”). Namun, anda hanya boleh kongsikan kemarahan dan terguris perasaan dengan orang dewasa lain berbanding dengan si kecil.
Bina hubungan
Jika hubungan anda dengan anak agak tegang, ambil masa untuk menguatkan ikatan anda berdua. Luangkan masa berduaan dengan anak setiap hari. Sertai aktiviti yang anak suka buat atau cipta aktiviti istimewa yang hanya anda berdua sahaja buat bersama.
Tunjukkan empati dengan bersungguh-sungguh
Mungkin ada masa papa/mama yang menjadi pilihan anak tidak ada ketika itu untuk menguruskan keperluan anak. Ketika ini, anda cubalah tunjukkan empati dengan penuh perasaan. “Papa tahu Aidan harap mama ada waktu ni kan. Tapi mama kan kena kerja, papa pun boleh tolong Aidan pakai baju ni.”
Cari tip
Walaupun sukar untuk menerima tetapi jangan putus asa. Tentu ada sesuatu yang anda boleh pelajari daripada “papa/mama yang digemari”. Pelajari apa yang papa/mama lakukan ketika mandi sehingga anak amat suka atau apa jenis permainan yang menyebabkan anak gembira setiap pagi.
Pujuk diri sendiri
Tak perlu berasa kecil hati dengan anak sendiri. Percayalah ia hanyalah satu fasa yang dilalui apabila membesarkan seorang anak. Mereka masih terlalu kecil lagi untuk faham tentang perlunya ‘menjaga hati’ ibu ayah.
Tip jika anda adalah papa/mama yang “digemari”
Beri sokongan pada pasangan anda
Jangan ketawakan pasangan anda apabila anak menolak diri mereka. Sebaliknya nasihatkan anak supaya tidak terlalu bergantung pada ibu atau ayah sahaja. Ingatkan mereka yang ibu atau ayah sama-sama menyayangi mereka jadi keduanya boleh uruskan mereka dengan baik.
Bercakap tentang persamaan dan perbezaan
Bila anda berduaan dengan anak, cuba beritahu dia tentang setiap ibu atau ayah adalah unik dengan cara yang berbeza. Ceritakan tentang kelebihan yang dimiliki oleh ibu/ayah yang dia tak “gemari”. Beritahu apa yang kedua anda telah lakukan dengan baik atau biarkan anak pula yang memberitahu apa dia paling suka tentang anda berdua.
Prihatin pada pasangan yang mungkin terluka perasaannya
Sentiasakan ingat yang pasangan anda mungkin berusaha untuk rapat juga dengan anak. Walaupun anak lebih menggemari anda, dan ia membuatkan anda bahagia dan seronok tetapi mungkin pasangan anda sedang terluka, kecewa atau cemburu. Cuba fahami perasaan pasangan anda dan biarkan sesekali dia meluahkan apa yang dirasakan.
Ada anak hanya mahu mama sahaja yang menguruskan dirinya dan ada juga yang mahu papa sahaja. Sebenarnya bila melalui fasa ini, kedua ibu bapa perlu saling memberi sokongan antara satu sama lain.

Untuk mendapatkannya, boleh SMS/Whatsapp “Minyak” ke
012-699 2604