PUNCA ANAK MENGALAMI TEKANAN.

Sejak kebelakangan ni anak anda kelihatan sangat murung dan lebih suka mengasingkan diri. Bercakap kurang, keluar rumah kurang, selera makan pun berkurangan. Anak anda kemungkinan besar sedang mengalami tekanan (stress).

“Eh pandai ke anak-anak ni stress?.”

 

Tekanan merupakan satu tindak balas badan terhadap pelbagai situasi yang berbeza. Tahukah anda sebagai ibu bapa, kanak-kanak turut mengalami tekanan seperti orang dewasa? Cuma mungkin situasi sedikit berbeza mengikut tahap perkembangan mereka.

Sebenarnya tekanan di dalam diri kanak-kanak adalah perkara biasa, yang merupakan sebahagian daripada proses pembesaran, melalui fasa baru serta pengalaman dalam kehidupan. Oleh itu ibu bapa seharusnya lebih peka tentang perubahan pada diri anak-anak.

Punca-punca anak mengalami tekanan

1.Perubahan besar dalam rutin seharian

Kebiasaannya emosi si anak akan terganggu apabila berlaku perubahan dalam rutin seharian mereka contohnya seperti tambahan ahli keluarga yang baru. Sering kali kita melihat anak kecil yang bakal mendapat adik baru akan mula buat perangai seperti terlebih manja atau lekas meragam. Ini antara tanda bahawa mereka sedang mengalami tekanan dengan kehadiran orang baru dalam kehidupan mereka.

Selain itu, anak-anak juga mudah mengalami tekanan seandainya mereka terpaksa menyesuaikan diri dalam persekitaran yang baru seperti berpindah ke sekolah yang baru. Maka tidak peliklah jika anak anda memberontak setiap kali hendak ke sekolah. Ini bukan bermakna mereka malas hendak ke sekolah, tetapi mereka berasa tidak selesa untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran yang baru.

2. Isu-isu rumahtangga

Ibu bapa seharusnya menjaga adab dan percakapan ketika di dalam rumah. Sebarang pertengkaran atau pergaduhan antara suami dan isteri mampu menyebabkan si anak menjadi tertekan. Secara tidak langsung ini akan menyebabkan si anak lebih suka mengasingkan diri kerana takut dengan ketegangan yang terjadi antara ibu dan ayah mereka.

3. Tekanan sekolah

Ini boleh terjadi berpunca daripada rakan sebaya antaranya seperti kes buli. Anak akan mudah berasa tertekan jika mereka dibuli di sekolah sama ada secara fizikal atau pun lisan. Selain itu bebanan pelajaran atau harapan ibu bapa yang terlalu tinggi terhadap prestasi anak-anak mampu menjadi salah satu faktor terjadinya stress.

Sistem pendidikan hari ini yang lebih fokus terhadap peperiksaan besar contohnya peperiksaan akhir tahun membuatkan ibu bapa meletakkan beban yang tidak sepetatutnya kepada anak-anak.

“I sekarang ni sibuk sikit dengan urusan anak. Pagi-pagi, I hantar anak ke sekolah, petang hantar anak pergi ke sekolah agama, malam pula hantar pergi tuisyen.”

“You hantar anak pergi tuisyen? Bukan ke anak you baru darjah satu?.

“Eh memangla. Tapi I nak dia dapat nombor satu setiap kali peperiksaan.”

Ibu bapa zaman kini seharusnya menjadi lebih fleksibel dalam mendidik anak-anak. Jangan terlalu mengharap anak anda cemerlang dalam bidang pendidikan tetapi terabai dari segi perkembangan sosial mereka.

4.Mencari Perhatian

Kebanyakan ibu bapa hari ini mengabaikan anak-anak tanpa disedari. Ekoran jadual kerja yang terlalu padat dan sibuk, ibu bapa tidak mampu untuk meluangkan masa yang berkualiti dengan anak-anak. Setiap kali pulang ke rumah ibu bapa lebih mengutamakan masa untuk diri sendiri tanpa menghiraukan anak-anak.

Oleh itu, ibu bapa seharusnya belajar untuk meluangkan masa dengan anak-anak walaupun hanya sejam sehari. Pastikan waktu tersebut anak-anak akan berasa kehadiran anda secara fizikal dan emosi. Dengan  itu, hubungan bersama dengan anak lebih akrab dan emosi anak akan lebih seimbang.

 

Untuk mendapatkannya, boleh SMS/Whatsapp “Minyak” ke 012-699 2604

 

Leave A Comment